Tidak Dapat Menguasai Topik

Tidak Dapat Menguasai Topik

Apabila kanak-kanak tidak dapat menguasai topik yang disampaikan guru, lihat semula:

1. Kesediaan kanak-kanak
Pastikan kanak-kanak mempunyai emosi yang stabil sebelum memulakan dan menyampaikan setiap topik. Jika pelajar nampak lesu pastikan mereka sudah mengambil alas perut dan tidak berada dalam keadaan lapar. Pastikan juga kesihatan mereka dalam keadaan baik.

2. Cara penyampaian guru
Guru adalah pemudah cara, guru mesti memahami dan menguasai topik dengan baik sebelum dipindahkan ilmunya kepada kanak-kanak. Gunakan bahasa mudah, suara yang jelas, pengulangan kata kunci dan soal jawab mudah berbentuk 2 hala kepada pelajar. Sediakan minimum 5 soalan asas dalam setiap topik yang mahu disampaikan.

3. Persekitaran kelas
Persekitaran kelas yang bersih, teratur, dengan susunan meja yang betul dapat meningkatkan daya fokus kanak-kanak kepada penyampaian guru. Jumlah bilangan pelajar dalam kumpulan, atau jumlah pelajar dalam setiap meja mestilah mempunyai nisbah yang sesuai. Elakkan ruangan yang sempit, kedudukan meja yang menghalang penglihatan mata kanak-kanak kepada guru atau papan tulis.

4. Peralatan dan penggunaan bahan bantu mengajar
Guru hendaklah sentiasa memastikan peralatan mengajar lengkap, whiteboard marker hendaklah mempunyai dakwat yang terang, menulis dengan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Penggunaan bahan bantu mengajar dengan aktiviti yang menyokong topik yang disampaikan. Peralatan pelajar seperti pensel, pensel warna dan pemadam juga hendaklah cukup untuk setiap individu dan berada dalam keadaan siap untuk digunakan. Bukan tumpul, tidak ada mata dan terpaksa berebut-rebut.

5. Memastikan respon dan bahasa tubuh kanak-kanak
Guru mesti pandai mengambil hati dan pandai mencuri perhatian kanak-kanak, nisbah guru dan pelajar di dalam satu kelas atau satu sesi hendaklah mempunyai nisbah ideal. Guru mesti peka dengan bahasa tubuh kanak-kanak. Adakala mereka mahu ke tandas, rasa kurang sihat dan lapar. Ada sebahagian kanak-kanak mempunyai masalah deria seperti deria mata sama ada rabun jauh atau dekat, masalah telinga yang tidak dapat mendengar dan lain-lain. Guru mesti kenal pasti respon pelajar secara fizikal dan verbal. Rujuk pihak ibu bapa dan pengurus untuk cadangkan rawatan pihak yang berkaitan.

6. Membuat pengulangan topik
Topik yang diajar hendaklah sentiasa di ulang-ulang. Kaitkan topik yang diajar dengan perkaitan sebenar dalam kehidupan kanak-kanak. Pengulangan topik boleh menggunakan contoh-contoh berbentuk fizikal, benda maujud dan bentuk tayangan.

Oleh:
Puan Mariana Martin
Pengerusi, Little Abqari Edu Global