Tidak Dapat Menguasai Topik

Tidak Dapat Menguasai Topik

Apabila kanak-kanak tidak dapat menguasai topik yang disampaikan guru, lihat semula:

1. Kesediaan kanak-kanak
Pastikan kanak-kanak mempunyai emosi yang stabil sebelum memulakan dan menyampaikan setiap topik. Jika pelajar nampak lesu pastikan mereka sudah mengambil alas perut dan tidak berada dalam keadaan lapar. Pastikan juga kesihatan mereka dalam keadaan baik.

2. Cara penyampaian guru
Guru adalah pemudah cara, guru mesti memahami dan menguasai topik dengan baik sebelum dipindahkan ilmunya kepada kanak-kanak. Gunakan bahasa mudah, suara yang jelas, pengulangan kata kunci dan soal jawab mudah berbentuk 2 hala kepada pelajar. Sediakan minimum 5 soalan asas dalam setiap topik yang mahu disampaikan.

3. Persekitaran kelas
Persekitaran kelas yang bersih, teratur, dengan susunan meja yang betul dapat meningkatkan daya fokus kanak-kanak kepada penyampaian guru. Jumlah bilangan pelajar dalam kumpulan, atau jumlah pelajar dalam setiap meja mestilah mempunyai nisbah yang sesuai. Elakkan ruangan yang sempit, kedudukan meja yang menghalang penglihatan mata kanak-kanak kepada guru atau papan tulis.

4. Peralatan dan penggunaan bahan bantu mengajar
Guru hendaklah sentiasa memastikan peralatan mengajar lengkap, whiteboard marker hendaklah mempunyai dakwat yang terang, menulis dengan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Penggunaan bahan bantu mengajar dengan aktiviti yang menyokong topik yang disampaikan. Peralatan pelajar seperti pensel, pensel warna dan pemadam juga hendaklah cukup untuk setiap individu dan berada dalam keadaan siap untuk digunakan. Bukan tumpul, tidak ada mata dan terpaksa berebut-rebut.

5. Memastikan respon dan bahasa tubuh kanak-kanak
Guru mesti pandai mengambil hati dan pandai mencuri perhatian kanak-kanak, nisbah guru dan pelajar di dalam satu kelas atau satu sesi hendaklah mempunyai nisbah ideal. Guru mesti peka dengan bahasa tubuh kanak-kanak. Adakala mereka mahu ke tandas, rasa kurang sihat dan lapar. Ada sebahagian kanak-kanak mempunyai masalah deria seperti deria mata sama ada rabun jauh atau dekat, masalah telinga yang tidak dapat mendengar dan lain-lain. Guru mesti kenal pasti respon pelajar secara fizikal dan verbal. Rujuk pihak ibu bapa dan pengurus untuk cadangkan rawatan pihak yang berkaitan.

6. Membuat pengulangan topik
Topik yang diajar hendaklah sentiasa di ulang-ulang. Kaitkan topik yang diajar dengan perkaitan sebenar dalam kehidupan kanak-kanak. Pengulangan topik boleh menggunakan contoh-contoh berbentuk fizikal, benda maujud dan bentuk tayangan.

Oleh:
Puan Mariana Martin
Pengerusi, Little Abqari Edu Global

4 Faktor Utama Anak Menangis & 4 Perkara Ibubapa Boleh Lakukan Untuk Bantu Guru

4 Faktor Utama Anak Menangis & 4 Perkara Ibubapa Boleh Lakukan Untuk Bantu Guru

“ANAK-ANAK MENANGIS TIDAK SEMESTINYA MEREKA TIDAK SUKA”

Ini respon Puan Mariana Martin, Pengerusi Little Abqari Edu Global bila ditanya tentang persiapan mental dan emosi ibu bapa yang mempunyai anak yang baru mendaftar sekolah. Puan Mariana berkongsi tips penting ini khas untuk ibu bapa yang akan hantar anak ke tadika buat kali pertama.

4 Faktor Utama Anak Menangis & 4 Perkara Penting Ibubapa Perlu Buat Di Hari Pertama Persekolahan

Hari persekolahan 2021 bakal bermula, debaran ibu bapa mula terasa. Anak-anak yang pertama kali melangkah ke alam persekolahan, mereka tidak faham. Setiap hari mereka bertanya, bila nak pergi sekolah. Setiap hari digalas dan dicuba beg dan kasut baru yang dibeli untuk mereka. Bergaya di depan cermin dan minta diambil gambar. Hari pertama biasanya berlaku perkara yang di luar jangkaan, ada sesetengah kanak-kanak mula menangis sewaktu mula masuk ke pagar sekolah.

Kami kongsikan 4 faktor kanak-kanak menangis dan 4 perkara yang ibubapa boleh buat utk ringankan kerja guru di hari pertama persekolahan. Banyak faktor menyebabkan mereka menangis, kami kongsi 4 faktor yang utama:

1. Ibu bapa hantar di pagar sekolah sahaja. Tidak seperti semasa pendaftaran, ibu dan ayah serta adik-beradik lain masuk ke tadika dan menemani mereka bersama di sekolah.

2. Ada ramai kawan-kawan yang tidak dikenali. Ini memberi kejutan besar kepada anak-anak. Kerana dia sedang dikelilingi oleh guru-guru dan kawan-kawan yang dia tidak pernah jumpa dan tidak kenal. Tiba-tiba anak-anak akan rasa terlalu asing dan takut.

3. Ramai kawan-kawan pun menangis juga. Apabila melihat atau berada di situasi yang penuh dengan suara tangisan, sedikit sebanyak perasaan mereka jadi berbaur. Jadi kanak-kanak itu akan meniru aksi menangis kawan-kawan lain untuk hilangkan rasa takut mereka.

4. Rasa mengantuk dan rasa lapar juga adakala faktor yang menganggu emosi kanak-kanak. Almaklumlah pagi itu bangun awal mahu sarung uniform baru dan tak mahu makan pagi sebagai alas perut.

Jadi jika berlaku situasi anak menangis di hari pertama persekolahan nanti, ibu, ayah, tok, tok nek, tok cik, uwan jangan panik. Ini 4 cara ibu ayah boleh bantu ringankan kerja guru di sekolah:

1. Guru-guru sudah bersedia dan terlatih untuk mengawal situasi ini, segera serahkan anak-anak kepada guru bertugas. Dan berikan mereka ruang masa untuk mengenali, bercakap dan berduaan dengan guru mereka.

2. Ada juga situasi, anak-anak akan menangis hingga muntah dan basah baju. Ibu bapa boleh mudahkan kerja guru dengan menyediakan baju persalinan dan tuala dalam beg mereka.

3. Anak-anak sudah bersedia hendak ke sekolah, tetapi mereka perlukan masa. Beri masa guru-guru dan anak-anak menyesuaikan diri. Ibu bapa elakkan berbual dengan guru terlalu lama di pagar sekolah pada hari tersebut.

4. Elakkan membuat pendaftaran, membayar wang yuran, bertanya maklumat pada pagi hari pertama persekolahan. Dapatkan maklumat awal dari guru dan pentadbiran sekolah. Buat bayaran sebelum hari persekolahan bermula atau selepas tamat sesi persekolahan nanti. Beri peluang pada guru fokus kepada menyantuni anak-anak dan memastikan keselamatan anak-anak kita.

Kita semua mahu yang terbaik. Kita perlu ingat bahawa di tadika guru bukan sahaja mengajar, mereka membantu kanak-kanak mengawal emosi, ajar anak-anak membuat keputusan dan pastikan keselamatan anak-anak kita. Jadi, mudahkan proses anak-anak kita belajar bersama guru-guru. Pengalaman yang dilalui oleh anak-anak adalah proses. Doakan Allah permudahkan urusan menuntut ilmu anak-anak kita dan urusan guru-guru anak-anak kita. Pesanan kasih mesra dari saya. Share bersama ibu bapa lain, semoga bermanfaat.

 

Oleh,
Puan Mariana Martin
Pengerusi
Little Abqari Edu Global